Showing posts with label 30 Disember 2012. Show all posts
Showing posts with label 30 Disember 2012. Show all posts

Saturday, June 15, 2013

30 Disember 2012.... Siri 3....

Siapa Ayah Aku......?

Beliau telah mendidik dan banyak memberi nasihat kepada aku. Jarang-jarang nasihatnya aku dengar, kadang-kadang aku buat-buat dengar. Itulah aku sebagai anak. Bila aku sudah berkeluarga, mempunyai anak, banyak nasihat-nasihatnya ku ulang untuk mendidik dan membesar anak-anak.

Perwatakan beliau, tidak banyak bercakap. Kalau kena topik, akan cakap tak berhenti-henti. Ketika keluar berjalan, songkok hitam, kot dan stokin tidak akan dilupakan walaupun hanya menyarung selipar. Ini kerana beliau mementingkan imej. Pendidikan formal hanya setakat darjah 6. Tapi keinginan serta semangat beliau untuk memajukan diri dan karier sangat tinggi. Percaya atau tidak, ramai rakyat Malaysia tanpa mengira pangkat dan darjat menjadikan beliau sebagai rujukan. Siapa yang kenal beliau pasti akan bersetuju dengan apa yang aku cakapkan.

Tetapi setelah beliau tiada, aku merenung, mengingat kembali apa-apa yang pernah arwah katakan. Sebenarnya impian arwah adalah untuk melihat aku berjaya dalam bidang akademik iaitu mahu aku menjadi seorang pensyarah dan seterusnya professor. Tapi aku tidak minat mengajar kerana aku akan cepat hangin kalau apa yang aku ajar orang tak paham.

Walaubagaimanapun, aku telah berjaya mencapai cita-cita yang beliau harapkan ketika aku di sekolah menengah iaitu menjadi seorang akauntan. Bukan sahaja aku seorang akauntan bertauliah, malah aku juga adalah seorang juruaudit. Alhamdulillah.

Siapa yang belum mengenali arwah ayah aku, scroll gambar di bawah:

 
Gambar ketika 'kenit' konvo di KUIS.
 
 
Aku doakan semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Aminnn.....

Bersambung....

Saturday, June 8, 2013

30 Disember 2012.... Siri 2

Aku bersyukur kepadaMu Ya Allah kerana telah dipermudahkan untuk menguruskan jenazah ayah walaupun selama ini aku tidak ambil tahu langsung pasal hal ini. Aku berfikiran sebab dah orang lain boleh buat, so aku tak payah buat. Tetapi bila dah terkena batang hidung sendiri, baru padan muka. Gelabah tak sudah. Nasib baik aku ada jiran yang telah banyak membantu. Terima kasih diucapkan kepada mereka-mereka yang telah membantu samaada secara langsung ataupun tidak langsung.

Aku kongsi serba sedikit apa yang aku ingat. Kalau nak tahu lebih mendalam, sila hadiri kelas pengurusan jenazah yang dianjurkan oleh masjid/surau di tempat anda.

Illustrasi sahaja

Langkah-langkah Yang Perlu Dilakukan Ketika Ayah Menghembus Nafas Terakhir Di Rumah.

1. Hubungi hospital berdekatan dan tunggu sehingga pegawai hospital sampai di rumah. Pegawai hospital akan mengesahkan kematian seseorang itu, waktu kematian dan tempat kematian.

2. Ambil surat pengesahan kematian dan buat laporan di balai berdekatan untuk Pengesahan Pengebumian Jenazah (Permit Kubur). Pegawai polis akan datang ke rumah untuk memeriksa jenazah dalam memastikan tiada unsur jenayah yang wujud.

3. Minta bantuan pihak Qariah masjid/surau dalam menguruskan tempat pengebumian dan proses jenazah untuk dimandi dan di kafan. Beri satu salinan permit kubur kepada qariah untuk perekodan.

4. Bawa kad pengenalan jenazah dan surat pengesahan pengebumian dan daftar kematian di Jabatan Pendaftaran Negara untuk sijil kematian.


Perkara Yang Perlu Untuk Menjaga Kehormatan Jenazah.

1. Tukarkan pakaiannya dan bersihkan kekotoran yang keluar dari duburnya. Pastikan aurat jenazah tidak terdedah.

2. Rapatkan kedua belah matanya dan berdoa (sunat) "Dengan nama Allah dan Rasul, Ya Allah ampunkan dia dan kasihanilah dia"

3. Qiamkan kedua tangannya seperti dalam solat.

4. Rapatkan mulutnya.

5. Ikat dagunya dan simpul di atas ubunnya.

6. Luruskan kakinya.

7. Ikatkan kedua ibu jari kakinya.

8. Letakkan sesuatu yang sederhana berat di atas perut jenazah untuk mengelakkan perut jadi buncit atau kembong.

9. Letakkan jenazah di tempat yang tinggi.

10. Tutup jenazah dengan sehelai kain yang nipis. Ini memudahkan wap keluar dan melambatkan ianya berbau.

11. Sunat meletakkan jenazah dengan kakinya menghadap ke Qiblat, kepala ditinggikan sedikit, beralas dengan bantal, supaya mukanya juga dapat dihadapkan ke Qiblat.

Monday, June 3, 2013

30 Disember 2012.... Siri 1

Genap sudah 5 bulan ayah meninggal aku untuk selama-lamanya. Pelbagai kenangan ketika bersama dengan ayah muncul di ingatan. Aku tidak menyangka yang ayah pergi secepat ini. Belum puas aku berguru, bergurau, berbakti kepadanya, Tapi apa boleh buat, Allah Taala lebih menyayangi dia daripada aku.

Benarlah kata Allah,

Setiap yang hidup akan merasai mati, dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesengan sebagai cubaan, dan kepada kamilah kamu akan kembali (Al-Anbiya ayat 35)

Dan bagi umat ada tempoh ajalnya (yang telah ditetapkan), maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka melambatkan walaupun sesaat, dan tidak dapat pula mereka mempercepatkannya (Al-Araf Ayat 34)

Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekali pun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh (An-Nisa Ayat 78)

Bersambung....

Daisypath Anniversary tickers
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Birthday

  • Aku - 2 Oktober
  • Ma Mil - 19 Ogos
  • Nurin Hidayatullah - 10 Januari
  • Nurin Alya Fatihah - 21 Januari
  • Omak Aku - 21 September
  • Bapak Aku - 21 April